PUTRAJAYA: Isu berkaitan kebajikan guru, termasuk pengambilan khas guru secara ‘one-off’, permohonan pertukaran dan pembangunan profesionalisme guru akan diteruskan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Radzi berkata, beliau menekankan bahawa pentingnya isu berkaitan kebajikan guru diteruskan dan diberi keutamaan.
“Saya menyatakan hasrat ini ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pendidikan (KPM) petang tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri dan pengurusan kanan kementerian,” katanya.
Pada masa sama, Radzi berkata, KPM juga akan meneruskan rancangan berkaitan kebajikan, pembangunan dan kemenjadian murid termasuk usaha-usaha menangani keciciran murid.
Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti pelbagai aspek berkaitan pengoperasian sekolah termasuk mengambil kira data vaksinasi guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan kakitangan sokongan.
“Satu pelan komprehensif telah dirangka mengambilkira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pada masa yang sama, sesi libat urus dengan pihak berkaitan perkara ini juga akan diteruskan,” katanya.
Katanya, KPM akan terus menggiatkan usaha bagi memastikan segala perancangan dan tindakan adalah yang terbaik untuk masa depan pendidikan negara.
Radzi sudah memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kanan (Pendidikan) pada hari Isnin lalu selepas beliau memasuki pejabat pada sebelah petang sebaik istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Negara selesai. – UTUSAN ONLINE










