Isu kapal selam nuklear: Malaysia nyata kebimbangan - Utusan Malaysia

Isu kapal selam nuklear: Malaysia nyata kebimbangan

SAIFUDDIN Abdullah (kiri) dalam sidang akhbar pada program pengagihan ‘Mooncake’ kepada masyarakat setempat di Pusat Khidmat Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Malaysia menyatakan kebimbangan berikutan pembinaan kapal selam berkuasa nuklear baharu Australia yang turut melibatkan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, melalui kerjasama pakatan strategik ketenteraan baharu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS) berkemungkinan menyebabkan timbul pelbagai reaksi daripada kuasa besar lain.

Menurutnya, selepas pengumuman bersama pemimpin tiga negara itu, beliau dihubungi rakan sejawatan, Menteri Luar Australia Marise Payne bagi menerangkan tentang projek kapal selam tersebut.

“Jadi, kita minta pihak Australia memberikan butiran terperinci tentang perkara itu bagi mengelak berlakunya salah faham dan sebagainya.

“Saya telah mengatakan dengan tegas kerisauan Malaysia tentang perkembangan terbaru ini yang berkemungkinan  menyebabkan reaksi kuasa besar lain, yang juga berminat dengan kawasan rantau Asia.

“Saya juga ada menyatakan bahawa Malaysia sentiasa memastikan wilayah maritim kita berada dalam Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) dan berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Konvensyen PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS),” katanya dalam sidang akhbar selepas program pengagihan ‘Mooncake’ kepada masyatakat setempat di Pusat Khidmat Indera Mahkota, dekat sini, hari ini.

Susulan daripada itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah memohon butiran lebih terperinci mengenai kapal selam berkuasa nuklear itu.

“Setakat ini kita tidak tahu tentang kapal selam itu jadi, kita minta pihak Australia memberikan butiran terperinci bagi mengelak berlaku salah faham.

“Permintaan itu juga dibuat bagi memastikan wilayah Maritim di sekeliling Malaysia selamat,” katanya.

Menurutnya, Malaysia turut bersedia bekerjasama dengan beberapa negara lain menerusi Secretarial Asean yang berpusat di Jakarta bagi mengeluarkan kenyataan bersama atas nama Menteri Luar Asean mengenai isu kapal selam nuklear itu.

“Di sini kita telah mengatakan pandangan kita bahawa AUKUS ini boleh menimbulkan reaksi daripada kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa besar ini.

“Setakat ini kita belum putuskan sama ada kenyataan tersebut dalam bentuk bantahan atau sebaliknya. Setelah perbincangan selesai kita akan sampaikan kepada mereka dalam tempoh terdekat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya