PETALING JAYA: Insiden kekecohan yang tercetus di luar Tokong Cina Chee How di Cheras, Kuala Lumpur semalam disebabkan salah anggap apabila timbulnya dakwaan bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kehadiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur bersama pihak kontraktor ke lokasi semalam itu adalah kerja-kerja membina pagar penghadang ‘koarding’ bersebelahan itu bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi.
Beliau kemudian menjelaskan tindakan itu bukan untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.
Katanya lagi, kawasan tersebut terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang mempunyai 24 kelas yang akan dibina manakala kedudukan Tokong Cina Chee How tersebut adalah berdekatan dua sekolah berkenaan.
“Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur bersama pihak kontraktor hadir ke lokasi pada 28 September itu adalah kerja-kerja membina pagar penghadang ‘Hoarding’ bersebelahan Tokong Cina Chee How bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek SMK Jalan Sungai Besi, bukan untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.
“Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei lalu oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Putrajaya terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung yang berada bersebelahan tokong tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, semalam tular di media sosial dengan satu rakaman video yang menunjukkan kekecohan sekumpulan individu dengan pihak berkuasa apabila video terbabit, beberapa individu kelihatan berang dan bertindak membaling kayu ke arah pihak polis
Dalam pada itu, Jalaluddin melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap insiden yang tercetus itu apabila sekumpulan pihak yang membawa kayu dan besi didakwa menyerang anggota polis serta cubaan merosakkan jentolak, disebabkan salah anggap bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat mereka.
Katanya, menerusi video tular yang berdurasi 76 saat dikongsi di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How itu, menunjukkan seolah olah pihak berkuasa cuba mahu merobohkan rumah ibadat mereka dan menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan tidak sihat dalam kalangan netizen khususnya di ruangan komentar media sosial.
Katanya, walaupun keadaan telah berjaya diredakan, namun beliau memandang serius akan perkara ini kerana ia melibatkan kekeruhan persepsi antara para penganut kepercayaan dengan pihak berkuasa.
“Apatah lagi ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
“Justeru, saya pohon pihak berkuasa berkaitan dapat menyegerakan kes siasatan ini agar punca permasalahan insiden tersebut dapat kita peroleh segera, dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni,” katanya.
Beliau kemudian menasihati semua pihak sama ada kumpulan terlibat, pihak berkuasa mahupun netizen di media sosial agar mencari titik penyatuan dan memberhentikan proses menggali perbezaan agar permuafakatan yang ideal bersama dapat dibentuk.
“Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, insiden sebegini tidak boleh berlaku di lain kali di mana-mana tempat demi menjaga prinsip kita sebagai Keluarga Malaysia yang tercinta,” katanya. – UTUSAN










