MUAR: Malaysia dan Singapura akan mengadakan perbincangan untuk mengiktiraf sijil vaksinasi masing-masing secara bersama dalam usaha memudahkan pergerakan rentas sempadan bagi kedua-dua pihak untuk pelbagai tujuan terutama pekerjaan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan berkaitan perkara itu amat penting kerana hubungan kedua-dua negara amat rapat dalam melaksanakan pelbagai urusan setiap hari.
Beliau berkata, pembukaan sempadan antara Malaysia dan negara republik itu berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi ekoran aktiviti eksport dan import membabitkan kedua-dua pihak.
“Antara perkara yang akan kita perhalusi bila dianggap sesuai dan Singapura bersetuju (apabila) vaksinasi sudah sampai ke peringkat lengkap, sijil kita dan sijil Singapura diiktiraf bersama-sama.
“Ini akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka. Semua itu akan diambil kira. Tetapi pastinya bila sampai situasi vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat, maka sempadan-sempadan berkenaan akan mula dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sebelum ini juga ada berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan yang turut dipersetujui Hsien Loong.
Bagaimanapun, keputusan itu memerlukan penelitian khusus membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.
“Kita akan teliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan serta termasuk juga soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Dengan keadaan Covid-19 dan vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati,” katanya.
Muhyiddin berkata, perbincangan membuka sempadan sering diletakkan sebagai keutamaan dalam mana-mana mesyuarat termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini yang bukan sahaja dibuka kepada pelancong luar tetapi rakyat negara ini yang mahu ke negara lain.
“(Tetapi) Soal rentas daerah dan negeri pun masih belum dibuka, apatah lagi rentas antarabangsa untuk orang nak keluar negara lain atau pun orang asing yang mahu datang ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE