TAMPIN: Ibu dan bapa tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan yang menjadi mangsa dera dalam kejadian di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin dekat sini esok.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, ia selepas kedua-duanya ditahan polis pada 25 Ogos lalu selepas disyaki terlibat dalam kejadian dera berkenaan.
“Ibu mangsa yang berusia 17 tahun dan bapa tirinya berusia 23 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin, esok,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditangkap polis susulan kejadian kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan dekat sini yang dilaporkan berlaku pada 25 Ogos lalu.
Polis pada masa itu telah mendapat laporan pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan yang memaklumkan telah menerima seorang pesakit berusia 16 bulan dalam keadaan lebam di mata dan terdapat kesan seterika di belakang badan disyaki telah didera.
Bapa tiri mangsa mengaku memukul mangsa kerana mangsa menangis dan membuatkannya menjadi marah sehingga bertindak menumbuk muka mangsa dan memukul, selain juga mengaku mencucuh puntung rokok di telapak kaki mangsa sebelah kiri.
Lelaki itu mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.
Anuwal berkata, kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, kanak-kanak tersebut masih lagi menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
“Perancangan pihak kami selepas kanak-kanak ini sihat dan boleh keluar daripada wad hospital berkenaan, kami akan tempatkannya di sebuah tempat selamat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Keadaan kanak-kanak itu setakat ini secara keseluruhannya semakin baik dan sihat selepas dirawat hampir dua minggu di hospital berkenaan,” katanya.










