Hospital Medan dijangka beroperasi esok - Utusan Malaysia

Hospital Medan dijangka beroperasi esok

PARA petugas sedang memindahkan pesakit ketika sesi ujian penuh dan latihan keselamatan kebakaran di Hospital Medan di HPP, Jalan Residensi,Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hospital Medan bagi fasiliti tambahan perawatan pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini dijangka memulakan operasi esok dengan pesakit pertama akan dapat dirawat di situ pukul 9 malam. 

Bagaimanapun, Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, terdapat beberapa prosedur lain yang perlu dilaksanakan pagi esok sebelum Hospital Medan itu dapat beroperasi sepenuhnya. 

“Setakat hari ini, Hospital Medan ini 90 peratus siap dari segi infrastruktur dan pagi esok pasukan jurutera akan melakukan penilaian akhir yang mana jika ia dipenuhi, hospital ini akan mencapai 100 peratus siap serta bersedia menerima pesakit. 

“Pesakit pertama dijangka ditempatkan di sini pada pukul 9 malam esok, namun pihak HPP perlu menjalankan operasi pembersihan penuh di sini terlebih dahulu sebelum pesakit boleh dirawat,”katanya selepas sesi ujian penuh dan latihan keselamatan kebakaran di Hospital Medan di HPP, di sini hari ini. 

ATM menggerakkan 50 anggota dan empat pegawai untuk proses pembinaan Hospital Medan di HPP itu bermula 16 September lalu dan hospital itu merupakan Hospital Medan kesembilan yang dibina oleh ATM. 

Menurut Dr. Zamri, sebanyak dua pegawai dan 22 anggota ATM akan ditempatkan di Hospital Medan berkenaan bagi melicinkan operasi di situ. 

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan pula, seramai lima pakar, 54 pegawai perubatan dan 250 kakitangan sokongan serta jururawat akan ditempatkan di Hospital Medan ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, latihan kebakaran dan sesi ujian penuh di Hospital Medan terbabit hari ini berjalan lancar dengan beberapa penambahbaikan perlu dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasinya. 

“Hospital Medan ini selamat untuk beroperasi dan berada dalam keadaan baik. 

“Mereka hanya perlu meningkatkan pengudaraan kerana hospital ini berhawa dingin.  Ini kerana jika berlaku kebakaran kita perlu memastikan asap dapat disalurkan ke tempat lain,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya