Hentikan budaya lantik penasihat, duta khas kerajaan - Pejuang Muda 

Hentikan budaya lantik penasihat, duta khas kerajaan – Pejuang Muda 

AKIF RUSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengecilkan jumlah Kabinet dan menghentikan budaya pelantikan penasihat yang didakwa tidak memainkan peranan dalam pentadbiran negara. 

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda), Akif Rusli berkata, kerajaan sebaliknya harus memanfaatkan khidmat penjawat awam seperti Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam setiap kementerian berkaitan dasar-dasar kerajaan. 

Justeru, beliau mempersoalkan mengenai keperluan penasihat-penasihat khas dan pelantikan duta setaraf menteri dan sama ada jawatan berkenaan sekadar membuka ruang untuk budaya penawaran jawatan serta kedudukan kembali berkuasa dalam kerajaan. 

Akif juga menolak budaya lantikan ahli keluarga politik sebagai pemegang jawatan berkepentingan dalam sesuatu pertubuhan menyorot pelantikan abang sulung kepada perdana menteri, iaitu Datuk Zamri Yaakob sebagai pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). 

“Adakah kedudukan ini mempunyai imbuhan tertentu yang akan dibelanjakan menggunakan dana negara dan adakah jemaah menteri selepas ini akan memerlukan lebih ramai penasihat?

“Perbanyakkan jawatan bagi tujuan habuan adalah keutamaan pentadbiran kini yang tidak jauh beza dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Budaya yang bersifat berkepentingan mengagihkan laba politik mesti dihentikan. 

“Sekiranya jumlah anggota pentadbiran kerajaan dapat diminimakan, Pejuang Muda percaya bahawa kebajikan rakyat akan dapat dijaga dan perbelanjaan sumber kewangan negara dapat difokuskan bagi tujuan memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Akif berkata demikian dipercayai merujuk kepada keputusan Ismail Sabri pada 2 September lalu menyambung pelantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Dua duta khas lain yang disambung perkhidmatan ialah Datuk Seri Tiong King Seng sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur yang masing-masing daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Ketiga-tiga pemimpin itu pertama kali memegang jawatan berkenaan semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April tahun lalu. 

Bagaimanapun, beberapa pihak menyifatkan tiada sebarang hasil sepanjang mereka menggalas tugas tersebut malah mendakwa mereka ‘tidak ke mana-mana’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN