Hati-hati terima nasihat, Mukhriz ingatkan Sanusi - Utusan Malaysia

Hati-hati terima nasihat, Mukhriz ingatkan Sanusi

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengingatkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor supaya lebih berhati-hati dengan nasihat diterima orang sekelilingnya yang mungkin menjeratnya pada masa akan datang.

Menurut Mukhriz, beliau sangsi sama ada Muhammad Sanusi benar-benar menerima nasihat yang betul ketika membuat tuduhan mengenai pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah memandangkan kenyataan dibuat Menteri Besar itu didakwa tidak jelas.

Dalam masa sama, katanya, beliau sama sekali tidak akan membiarkan saja apa yang berlaku kerana kenyataan dibuat Muhammad Sanusi didakwa telah menjejaskan reputasinya.

“Muhammad Sanusi kata saya dikelilingi ‘punah sihat’ tetapi apabila melihat kenyataan-kenyataan dibuatnya yang tidak jelas berhubung dakwaan itu, silap-silap beliau yang terima nasihat daripada ‘punah sihat’.

“Maka saya harap beliau berhati-hati dengan nasihat diberikan orang sekelilingnya kerana dirinya mungkin terjerat dalam satu keadaan di mana, beliau sendiri tak dapat keluar,” katanya.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

Terdahulu Muhammad Sanusi dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini menegaskan, yang beliau tidak akan meminta maaf kerana melakukan pendedahan itu.

Malah dalam sidang akhbar sama, beliau turut menunjukkan dokumen-dokumen yang didakwa berkaitan dengan pemindahan wang tersebut berjumlah RM3.295 juta, RM3.315 juta, RM3.305 juta dan RM3.278. juta dengan transaksi-transaksi itu dikatakan berlaku pada 2014.

Mengulas lanjut Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, beliau akan berbincang dengan penasihat undang-undangnya untuk menentukan tindakan seterusnya.

“Saya sendiri sedia untuk memberi kerjasama kepada sesiapa saja yang menyiasat sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam masa sama, saya masih lagi tegas menafikan apa yang didakwa Muhammad Sanusi itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya