Hasil pelancongan Sabah hanya RM174 juta - Utusan Malaysia

Hasil pelancongan Sabah hanya RM174 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasil pelancongan Sabah menurun sebanyak RM1.28 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun lalu, hasil pelancongan yang diterima adalah RM1.45 bilion berbanding hanya RM174 juta pada tahun ini.

 

JUHAR Mahiruddin (dua kanan) bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) dan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya (dua kiri) sempena perasmian persidangan DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.-IHSAN Jabatan Penerangan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penyusutan ketara ini berikutan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan penyumbang utama kepada ekonomi Sabah ini terjejas teruk.

Beliau berkata, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah pada tahun lalu hanya 977,460 orang berbanding 4.2 juta orang pada tahun 2019 iaitu penurunan sebanyak 76.7 peratus.

Jumlah ketibaan pelancong bagi enam bulan pertama ini pula telah menurun sebanyak 85.2 peratus kepada 108,862 orang berbanding 736,921 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Justreru, kerajaan negeri mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah sebagai panduan dan persediaan bagi memulihkan industri pelancongan,” katanya semasa ucapan dasar kerajaan sempena perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Juhar berkata, usaha membasmi kemiskinan di Sabah akan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri. Maka, beliau berharap program pembasmian kemiskinan yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat dicapai seperti yang dirancang.

Malah, kerajaan akan memulakan program baharu pada tahun ini iaitu program Rumah Sejahtera Sabah, program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB)Alternatif, program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Alternatif dan program Aktiviti Ekonomi Tambahan bagi meningkatkan kemudahan di kawasan luar bandar.

Jelas beliau, kerajaan juga akan terus memperkasa belia di negeri ini dengan menggubal Enakmen Majlis Sukan Sabah untuk memperkasa pengurusan pembangunan sukan. Kemudian barulah menggubal Enakmen Majlis Belia Sabah untuk memperkasa pembangunan dan program belia. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN