Harga kit ujian kendiri Covid-19 masih membebankan - Utusan Malaysia

Harga kit ujian kendiri Covid-19 masih membebankan

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan harga kit ujian kendiri ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih membebankan.

 “Jika dilihat harga seunitnya ialah RM19.90, tetapi bagi keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, jumlahnya mencapai ratusan ringgit untuk satu kali ujian.

“Dengan kekerapan melakukan ujian kendiri ini, misalnya seperti dua minggu sekali, ini benar-benar melibatkan kos yang lebih tinggi daripada membeli barang keperluan seperti bera, dan makanan mentah seperti seekor ayam misalnya,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut, kos kit ujian kendiri masih lagi dikira sebagai membebankan rakyat.

“Lantaran itu, harga kit ujian kendiri ini perlu melalui proses perbincangan semula antara kementerian dan pihak pembekal supaya harganya boleh diturunkan lagi pada masa akan datang. Ini bagi mencapai kesepakatan harga yang benar-benar tidak membebankan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengumumkan penetapan harga borong untuk satu set kit ujian kendiri pada harga RM16, manakala harga runcit RM19.90 telah mula dikuatkuasakan dan diwartakan mulai hari ini.

KPDNHEP juga memberi tempoh tujuh hari kepada pemborong dan peruncit kit ujian kendiri Covid-19 untuk penyesuaian harga peralatan itu mengikut kadar ditetapkan.

Pada masa sama, Lam Thye berpendapat, kerajaan juga harus memastikan segala barang berkenaan Covid-19 seperti kit ujian kendiri, pelitup  muka, oksimeter dan sebagainya mempunyai harga kawalan yang berpatutan.

“Ini kerana segala peralatan ini telah menjadi keperluan apabila kita membuat keputusan untuk menganggap Covid-19 sebagai endemik dan kita perlu hidup bersama dengan Covid-19 untuk suatu tempoh yang panjang.

“Apabila Covid-19 dianggap sebagai endemik, segala peralatan berkenaannya merupakan norma baharu yang perlu kita hidup bersama. Justeru, ia menjadi keperluan buat masyarakat. Segala keperluan ini tidak seharusnya membebankan rakyat,” katanya.

Beliau juga menganggap kerajaan perlu memberikan kit ujian kendiri secara percuma kepada rakyat seperti mana yang telah dilakukan oleh beberapa negara lain.

“Ini harus menjadi matlamat Kementerian Kesihatan, jadi Kementerian Kewangan seharusnya memberi peruntukan tambahan untuk mencapai matlamat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN