KUALA LUMPUR: Seramai hampir 5,000 doktor kontrak yang terdiri daripada pakar perubatan dan pegawai perubatan telah meletakkan jawatan sejak 2016 hingga Jun 2021.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia meliputi 948 orang pakar perubatan dan 4,028 pegawai perubatan yang telah meletakkan jawatan.
“Pakar perubatan yang meletak jawatan adalah seramai 158 orang pada 2016, 170 orang pada 2017, 198 orang pada 2018, 229 orang pada 2019, 161 orang pada 2020 dan 32 orang setakat Jun 2021.
“Manakala pegawai perubatan yang meletak jawatan seramai 874 orang pada 2016, 869 orang pada 2017, 734 orang pada 2018, 915 orang pada 2019, 534 orang pada 2020 dan 102 orang setakat Jun 2021,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Setakat ini, terdapat seramai 23,096 orang pegawai lantikan kontrak yang merangkumi 23,077 pegawai perubatan lantikan kontrak dan 19 orang pakar perubatan lantikan kontrak.
Jumlah keseluruhan pegawai perubatan adalah seramai 55,981 orang iaitu 32,885 pegawai lantikan tetap yang merangkumi 26,892 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan 5,993 orang pakar perubatan lantikan tetap.
Beliau menjawab pertanyaan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang meminta Kementerian Kesihatan untuk menyatakan rancangan untuk menjamin masa depan doktor-doktor kontrak agar negara tidak mengalami ‘brain drained’ pada masa akan datang. – UTUSAN










