Siapa Abdul Halim, Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu?

Siapa Abdul Halim, Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu?

ABDUL HALIM AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu berkuat kuasa 13 Mei ini selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebaik dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Selepas pelantikan itu di­umumkan oleh Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, timbul banyak persoalan dalam kalangan ramai pihak, siapakah Abdul Halim?

Abdul Halim, 69, dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) pada 1982 dan menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang di University of Hull pada 1996.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982 dan berkhidmat selama 22 tahun dalam pelbagai jawatan.

Ia termasuk Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka serta Hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara, menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya dan Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.

Pada 2005, beliau dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006, seterusnya dinaikkan pangkat Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian berkhid­mat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2009 dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru setahun kemudian, sebelum meneruskan perkhidmatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga bersara wajib pada Mac 2023.

Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM kini disandang Tan Sri Azam Baki yang kontraknya dijadualkan tamat 12 Mei ini.

Shamsul Azri berkata, pelantikan Abdul Halim dibuat selaras Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

“Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rak­yat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.

Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu bagi menerajui suruhanjaya ber­kenaan.

Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN