BATU KAWAN: Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan sedia menurunkan cukai jalan kenderaan diesel bagi mengurangkan beban rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dipertimbangkan susulan kenaikan harga diesel walaupun pengguna kenderaan tersebut di negara ini masih kecil iaitu sekitar 1.8 juta.
Menurutnya, kerajaan mendengar keluhan rakyat namun keputusan penyasaran subsidi RON95 tetap diteruskan untuk memastikan kestabilan fiskal negara.
“Berapa kenderaan diesel di Malaysia ini? Ada 1.8 juta. Ia masih kecil ketimbang keseluruhannya (berbanding kenderaan yang menggunakan petrol). Tapi, bagi 1.8 juta ini, ada masalah kerana harga diesel naik. Saya masih ingat. Ya, menantu saya pun ada kereta diesel.
“Ya, tapi maknanya kita dengar (keluhan rakyat). Keputusan kita ialah penyasaran subsidi RON 95 (petrol). Itu masih kita kekal,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar berkata, cadangan menurunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel mampu direalisasikan sedikit masa lagi.
“Itu boleh (turunkan cukai jalan untuk kenderaan diesel). (Turunkan) harga minyak sekarang ini tak mampu. Tapi, cukai jalan itu boleh. Kalau nak turun banyak, tolong lobi dengan Menteri Pengangkutan,” katanya berseloroh.
Anwar berkata, masalah dihadapi rakyat seperti kenaikan cukai, harga minyak dan sebagainya adalah masalah yang perlu diselesaikan kerajaan.
“Sebab itu bila saya dengar masalah (berkaitan isu) diesel tadi saya bincang dengan Menteri Pengangkutan. Suruh (Anthony) Loke cari jalan dan saya minta Kementerian Pengangkutan, KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) cari jalan penyelesaian tempoh terdekat,” katanya.
Beliau turut menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan tugas.
Anwar berkata, usaha itu perlu digerakkan seiring dengan langkah pendigitalan bagi meningkatkan tahap integriti dan menepis sebarang tohmahan terhadap agensi berkenaan.
“Kalau ikut pengalaman hidup saya dari semasa mula ada motosikal dan kereta, banyak kontroversi dan kritikan terhadap JPJ. Itu saya harus akui.
“Tetapi, ketimbang (berbanding) puluhan tahun yang lalu, imej JPJ jauh lebih baik sekarang dan saya ucap tahniah,” katanya.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, sebanyak RM5.6 bilion hasil digitalisasi dijana JPJ, manifestasi konkrit bahawa tatakelola yang baik dan teknologi tepat bukan sahaja memudahkan rakyat, tetapi menguatkan khazanah negara.
Katanya, wang itu milik rakyat dan pihaknya menguruskan hasil digitalisasi itu dengan penuh amanah.
“JPJ antara agensi terawal dalam sektor penguatkuasaan mengamalkan piawaian ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah secara berterusan sejak tahun 2017.
“Ini bukan sekadar pengiktirafan sijil, tetapi bukti budaya integriti disulamkan ke dalam DNA organisasi JPJ,” katanya. – UTUSAN










