Guru agama tolak vaksin, ditamatkan tauliah - Mufti Melaka

Melaka larang guru agama mengajar jika tidak vaksin

ABDUL Halim Tawil bercakap kepada pemberita selepas program Penyerahan Foodbank Yapeim dan Kotak Makanan Yadim di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, Melaka, hari ini. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka melarang semua guru agama, guru takmir bertauliah dan pengkuliah di negeri ini mengajar atau mengadakan kelas ilmiah secara bersemuka di masjid sekiranya tidak mengambil suntikan lengkap vaksin Covid-19. 

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Covid-19 Melaka, minggu lalu. 

Jelasnya, setakat ini Melaka mempunyai seramai 1,300 guru agama bertauliah dengan kira-kira 600 daripadanya masih aktif mengajar di masjid dan surau di seluruh negeri ini. 

“Hasil perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 negeri, kita memutuskan tidak membenarkan semua guru agama termasuk guru al-Quran, pengkuliah kursus, pengkuliah mingguan atau guru takmir yang tidak mengambil suntikan vaksin mengajar secara bersemuka di masjid.

“Setakat ini Melaka mempunyai anggaran seramai 500 hingga 600 guru agama yang aktif mengajar di masjid atau surau dan kita akan minta lembaga masjid menyemak rekod vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Sidek.

Tambah Abdul Halim, pihaknya kini sedang mengenal pasti sekiranya terdapat guru agama yang enggan mengambil suntikan vaksin dan penilaian untuk tindakan susulan akan dilakukan.

“Guru-guru, pemegang tauliah atau guru takmir inilah yang menjadi contoh dan ikutan masyarakat. 

“Jadi, saya berasa bimbang sekiranya ada di antara guru agama ini tergolong dalam kumpulan anti vaksin dan kerana itu juga kita mensyaratkan semua pengerusi lembaga masjid serta surau, untuk mendapatkan maklumat guru-guru yang mengajar,” tegasnya. 

Jelasnya lagi, perkara tersebut turut terpakai kepada semua ahli jawatankuasa masjid yang lain termasuk pegawai masjid, imam, bilal dan noja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya