Gerakan gesa KKM suntik vaksin ketiga kepada warga emas - Utusan Malaysia

Gerakan gesa KKM suntik vaksin ketiga kepada warga emas

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengatur suntikan vaksin ketiga bagi warga emas berusia lebih 60 tahun secepat mungkin.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu bagi mencegah virus Delta yang lebih menular supaya melindungi golongan berkenaan.

Katanya, berdasarkan data penyelidikan oleh Organisasi Penyelenggaraan Kesihatan di Israel, iaitu HMO Maccabi, dos vaksin ketiga adalah 86 peratus berkesan pada warga emas tersebut dan juga mempunyai kesan perlindungan terhadap virus varian Delta.

“Sebulan lepas, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika secara rasmi meluluskan dos vaksin ketiga untuk orang tua dengan sistem imun yang lemah. 

“Ketika ini, 10 negara telah mula memberikan dos ketiga kepada rakyat mereka, termasuk Israel, Jerman, United Kingdom, Kanada, Kemboja dan bahkan negara jiran, Singapura juga akan memberi dos ketiga kepada orang tua yang telah mencapai usia 60 tahun dan telah menerima 2 dos vaksin selama 6 hingga 9 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, warga emas masih merupakan golongan berisiko tinggi terhadap virus varian Delta dan kerajaan perlu memberi keutamaan kepada mereka terutama yang tinggal di pusat jagaan.

“Menurut statistik KKM, antara kematian yang berlaku pada orang yang divaksin, 81 peratus mempunyai komorbiditi dan 80 peratus daripada mereka adalah warga emas yang berusia lebih dari 60 tahun. 

“Statistik itu membuktikan bahawa orang tua yang berusia lebih dari 60 tahun adalah golongan yang berisiko paling tinggi. Oleh itu, suntikan ketiga menjadi amat penting bagi mereka,” katanya.

Beliau menambah, ketika kerajaan membuka pelbagai sektor ekonomi secara beransur-ansur, strategi untuk memberikan suntikan ketiga kepada golongan yang berisiko menjadi amat penting untuk mengekalkan keadaan pemulihan ekonomi negara kita. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN