Gembira timang anak, suami pula terlantar sakit - Utusan Malaysia

Gembira timang anak, suami pula terlantar sakit

ANAK-anak menjadi penguat semangat Nurain Rozman untuk menjaga suaminya, Mohamed Khairi yang hanya mampu terbaring akibat diserang angin ahmar kali kedua di rumah mereka di Taman Desa Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kegembiraan seorang suri rumah, Nurain Rozman, 28, yang menimang cahaya mata ketiganya pada Jun lalu diduga setelah suaminya, Mohamed Khairi, 36, diserang angin ahmar pada bulan berikutnya.

Nurain berkata, suaminya sempat menjaganya ketika dalam pantang selepas bersalin sebelum diserang angin ahmar buat kali kedua sehingga terlantar.

Katanya, pertama kali suaminya diserang penyakit itu adalah tiga tahun lalu dan pada 11 Julai lalu dia sekali lagi diserang penyakit sama hingga menyebabkan berlaku pendarahan di otak.

“Kejadian itu berlaku ketika dia berada di rumah. Keadaan itu menyebabkan suami perlu menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selain tekaknya ditebuk bagi memudahkannya untuk bernafas.

“Selepas menjalani pembedahan, suami kini hanya terlantar terbaring dan dia tidak lagi boleh makan melainkan hanya mampu minum susu menggunakan tiub menerusi hidung.

“Suami juga tidak mampu menguruskan diri dan terpaksa dipakaikan lampin dewasa serta memerlukan penjagaan dan perhatian setiap masa seperti menjaga bayi,” katanya yang tinggal di Taman Desa Kulai, di sini.

Dengan situasi yang menimpa pencari rezeki utama keluarganya itu, Nurain berdepan isu kewangan yang meruncing bagi perbelanjaan keperluan suami, bayi berusia empat bulan selain barangan keperluan dapur.

Katanya, pasangan hidupnya itu perlu diberi susu menerusi tiub empat jam sekali dan memerlukan sekurang-kurangnya enam tin susu bagi menampung keperluannya pada setiap bulan.

“Nasib yang menimpa diri ini amat berat kerana perlu memberikan penjagaan rapi terhadap suami dan bayi yang masih kecil. Demi menjaga mereka, saya tiada pilihan lain selain berhenti kerja sebagai operator kilang.

“Keputusan itu terpaksa dibuat dan kesannya keluarga kami kehilangan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan. Bukan sahaja berjimat membeli keperluan harian malah alami kesukaran membayar sewa rumah RM500 sebulan,” katanya.

Dalam masa sama, Nurain menyatakan kebimbangannya terhadap soal masa depan anaknya termasuk Mohd. Syaif, 9; Mohd. Syafie, 4, dan Mohd Syafwan Noh Ramadan berusia empat bulan.

Tambahnya, dia tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan dan mengharapkan bantuan ahli keluarga selain ihsan sahabat handai bagi mengharungi detik sukar itu.

“Doktor memberi harapan buat saya menyatakan suami berpeluang untuk sembuh secara berperingkat namun ia memakan masa. Saya amat berharap dia segera pulih,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan kepada keluarga itu melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Nurain yang bernombor 0110741100031412.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN