KUANTAN: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri hari ini bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Pahang, daripada RM500 kepada RM750.
Kenaikan sebanyak RM250 ataupun 50 peratus berkenaan berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Nilai kenaikan itu ditanggung kerajaan negeri terlebih dahulu sehingga kelulusan tentangnya diperoleh daripada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, diharap kenaikan itu dapat mengurangkan beban kewangan mereka berkenaan, seterusnya menjadi pendorong untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
“Pada mesyuarat MMK sama, kelulusan diberi kepada cadangan pewujudan tiga lagi JPKK di negeri ini iaitu JPKK Kampung Seri Sedia, Ringlet dan Kampung Raja kesemuanya di Cameron Highlands.
“Sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos pengendalian tiga JPKK ini juga akan ditangung terlebih dahulu oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Wan Rosdy berkata, dengan wujudnya JPKK yang baharu itu diharap, perkhidmatan kemasyarakatan yang lebih padu dan berkesan dapat diberikan demi manfaat penduduk di kawasan-kawasan terlibat. – UTUSAN ONLINE










