DUN Melaka benarkan ADUN sertai persidangan secara maya - Utusan Malaysia

DUN Melaka benarkan ADUN sertai persidangan secara maya

NOR AZMAN Hassan menyertai sidang DUN secara maya pada hari kedua Persidangan Pertama, Penggal Keempat, DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mencipta sejarah apabila menjadi DUN pertama membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai persidangan secara maya atau dalam talian.

Ini berikutan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) tidak dapat hadir ke persidangan kerana sedang menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19.

Usul untuk membolehkan perkara itu dibawa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar  Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Idris Haron kemudian disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Othman.

Idris berkata, Peraturan 5 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat berkenaan kuorum boleh ditangguhkan buat sementara waktu bagi membenarkan Nor Azman hadir secara maya.

“Terima kasih YB (yang berhormat) kerana menyebut ketidakhadiran YB Pantai Kundor disebabkan serangan Covid-19, bukan pilihan beliau. Saya minta YB Speaker untuk buat ruling (petua).

“Buat pertama kalinya kita boleh mengizinkan dibaca bersama dengan peraturan Dewan, kalau majoriti ahli Dewan menyokong penangguhan peraturan buat sementara waktu untuk membenarkan YB Pantai kundor hadir secara maya.

“Saya sudah semak dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, semua ready (sedia). Kalau kita boleh buat ruling, kalau majoriti ahli dewan bersetuju untuk bersolidariti,” katanya.

Usul berkenaan turut disokong Ketua Pembangkang, Adly Zahari (PH-Bukit Katil), namun mencadangkan ia tidak terpakai ketika proses undian.

“Saya secara dasarnya bersetuju, cuma dalam persoalan-soalan melibatkan pengundian sebagainya. Saya fikir itu tidak wajar kita benarkan, kerana melibatkan banyak perkara.

“Untuk dia (Nor Azman) hadir secara hibrid, saya bersetuju,” katanya.

DUN Melaka kemudiannya meluluskan usul berkenaan secara sebulat suara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN