Dua penjawat awam antara 9 ditahan sertai parti liar

Dua penjawat awam antara 9 ditahan sertai parti liar

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keseronokan sembilan individu termasuk dua wanita menyertai parti liar di sebuah kondominium yang disewa awal pagi tadi terbantut apabila diserbu polis.

Serbuan Op Noda pada pukul 1.10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia antara 20 hingga 47 tahun itu terdiri daripada dua orang penjawat awam, bekerja sendiri dan penganggur selain tiga orang pekerja swasta.

Katanya, hasil siasatan mendapati kondominium tersebut disewa seorang daripada suspek untuk mengadakan parti liar berkenaan.

“Ujian air kencing terhadap kesemua individu itu mendapati lima lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Pemeriksaan di kondominium itu tidak menemui dadah dan siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, kesemua individu warga tempatan itu juga dikenakan kompaun berjumlah RM18,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB).

“Pihak polis memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 selain tidak sesekali terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Operasi membanteras aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran akan terus diperhebatkan bagi memastikan keselamatan masyarakat terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN