Hadkan tempoh perkhidmatan perlu kepada wakil rakyat

Hadkan tempoh perkhidmatan perlu kepada wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun wajar dilaksanakan kepada semua wakil rakyat di peringkat Persekutuan dan negeri.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, langkah itu penting bagi memastikan peluang mencukupi diberikan kepada semua rakyat Malaysia berkelayakan untuk tampil bertanding seterusnya menjadi wakil rakyat.

Katanya, had tempoh jawatan dapat mengelakkan m­ana-mana individu menjadi wakil rakyat untuk tempoh terlalu lama sehingga terdedah kepada risiko salah guna kuasa di samping mengelakkan tanggapan negatif masyarakat terhadap individu terlalu lama memegang jawatan berkenaan.

“Dengan mengehadkan tempoh jawatan semua wakil rakyat, lebih banyak ruang dan peluang dapat diberikan kepada muka baharu yang mempunyai idea lebih bernas berbanding muka lama untuk berkhidmat kepada rakyat serta membangunkan negara.

“Kuasa monopoli mana-mana individu dalam memegang jawatan wakil rakyat sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu dikawal dan dihadkan demi kemajuan dan kemakmuran negara.

“Setiap rakyat Malaysia perlu diberi peluang menjadi wakil rakyat dan perkara ini boleh dilaksanakan jika tempoh perkhidmatan setiap wakil rakyat dihadkan sekurang-kurangnya selama 10 tahun seperti dicadangkan terhadap tempoh perkhidmatan Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Muzaffar Syah berkata, tiada peruntukan undang-undang menghadkan tempoh jawatan seseorang sebagai wakil rakyat, sekali gus membolehkan seseorang individu memegang jawatan itu selama mana yang mereka mahu kecuali hilang kelayakan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Per­sekutuan.

Katanya, undang-undang sedia ada menyebut seseorang perlu dicalonkan dan memenangi pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen atau ADUN selain memenuhi syarat kelayakan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri.

Katanya, Malaysia sebagai negara mengamalkan sistem demokrasi, peluang perlu diberikan kepada semua pihak untuk tampil menjadi wakil rakyat dan menyumbang bakti kepada negara.

“Sampai bila rakyat perlu melihat muka dan idea yang sama setiap kali Parlimen dan DUN bersidang. Negara tidak boleh bergantung kepada individu tertentu untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin, sedangkan ramai layak untuk bertanding dan berkhidmat.

“Sudah sampai masanya negara mengambil langkah lebih berani dan melihat cadangan ini dari sudut positif bagi mengukuhkan prinsip serta amalan demokrasi. 

“Kerajaan dan semua pemimpin negara boleh meneliti cadangan ini bersama pakar-pakar berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN