Skuad regu negara libas Jepun 2-0

Skuad regu negara libas Jepun 2-0

APIT kanan negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin melakukan hadangan pada aksi pembukaan Kumpulan A acara regu Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 antara Malaysia menentang Jepun di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad regu negara memulakan kempen Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan langkah kanan apabila membenam cabaran Jepun 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan Malaysia meraih tiga mata berharga sekali gus membuka laluan cerah untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Regu negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam tampil cukup bertenaga sejak wisel permulaan apabila langsung tidak memberi ruang kepada Jepun untuk mencabar penguasaan mereka.

Aksi set pertama berlangsung berat sebelah apabila Malaysia menguasai permainan sepenuhnya sebelum menoktahkan kemenangan mudah 15-4.

Memasuki set kedua, barisan kejurulatihan melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam serta Muhamad Noraizat Mohd. Nordin bagi memperkemaskan corak permainan.

Malaysia pada mulanya berada di landasan tepat apabila mendahului 10-8, namun Jepun enggan mengalah dan bangkit merapatkan jurang sebelum memintas kedudukan 12-10.

Situasi itu bagaimanapun tidak menggugat ketenangan skuad negara yang kembali memperkemaskan rentak permainan pada saat getir.

Pertarungan sengit hujung set menyaksikan kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar mata sebelum Malaysia menutup aksi dengan kemenangan 15-13.

Kejayaan menundukkan Jepun memberi suntikan keyakinan awal kepada skuad negara yang kini mengintai satu lagi kemenangan apabila dijadual berdepan Singapura dalam aksi kedua Kumpulan A, Isnin ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN