PETALING JAYA: Atlet sepak takraw negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, diangkat sebagai tekong terbaik dunia susulan pencapaian bersejarahnya membantu Malaysia meraih pingat emas dalam acara regu berpasukan dan regu pada kejohanan sukan SEA 2025.
Berdasarkan sijil pengiktirafan ISTAF yang dikongsikan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di platform rasmi mereka, tekong kelahiran Pulau Pinang itu menjadi tekong paling berjaya dengan beberapa gelaran di peringkat rantau dan dunia.
“Tahniah Muhammad Syahir Mohd Rosdi atas pengiktirafan dari Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF). Andalah tekong terbaik dunia!” kata badan induk itu.
Pencapaian itu dianggap cukup istimewa kerana ia merupakan kejayaan pertama Malaysia dalam acara berkenaan sejak edisi 1991 di Manila, Filipina, sekali gus menamatkan penantian lebih tiga dekad arena sepak takraw negara di pentas tertinggi.
Pada usia 28 tahun, Syahir mempamerkan aksi konsisten dan berkelas dunia apabila menjadi nadi utama pasukan, khususnya menerusi servis padu, kawalan mental yang tinggi serta keupayaan membaca permainan lawan dengan tepat.
Selain membantu skuad negara merangkul emas dalam acara regu berpasukan, Syahir turut memainkan peranan penting dalam kejayaan Malaysia mempertahankan keunggulan dalam acara regu, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara tekong paling dominan ketika ini.
Prestasi cemerlang itu bukan sahaja mendapat pujian dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan, malah mengangkat Syahir sebagai simbol kebangkitan semula sepak takraw Malaysia di pentas dunia.
Kejayaan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda serta menyuntik semangat baharu dalam kem negara menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang. – UTUSAN










