PETALING JAYA: Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui keyakinannya terhadap hala tuju Selangor FC (SFC) menjadi faktor utama beliau menerima tawaran menyertai kelab itu bagi menghadapi cabaran baharu.
Menurut Pan Gon, keputusan tersebut dibuat selepas beliau melihat kesungguhan tinggi serta perancangan jelas yang ditampilkan pihak pengurusan Selangor, sekali gus meyakinkannya terhadap projek jangka panjang kelab tersebut.
Jurulatih berusia 55 tahun itu, yang sebelum ini membimbing Ulsan HD FC, turut memuji kefahaman mendalam Selangor terhadap falsafah permainan dan pendekatan kepimpinan yang mahu diterapkannya.
Tegasnya, matlamat serta sasaran ditetapkan Gergasi Merah itu seiring dengan aspirasi peribadinya sebagai jurulatih, menjadikan keputusan tersebut satu langkah tepat dalam kariernya.
“Falsafah kejurulatihan saya sentiasa memberi fokus kepada pemain dengan penekanan terhadap latihan berkualiti, pelan taktikal yang jelas dan analisis lawan yang terperinci bagi memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik.
“Struktur pasukan yang mempunyai gabungan pemain berpengalaman dan muda adalah seimbang, aspek disiplin, profesionalisme, fokus, serta kerja berpasukan menjadi asas supaya setiap individu dapat melaksanakan peranan masing-masing secara optimum.
“Manakala dari luar padang, saya akan terus memberikan galakan dan motivasi agar pemain beraksi bersama-sama sebagai sebuah pasukan,” kata Pan Gon.
Terdahulu, pengendali yang tidak asing dengan negara ini sah ke Malaysia namun kali ini atas kapasiti sebagai ketua jurulatih baharu Selangor.
Jurulatih dari Korea Selatan itu, pernah memberi impak besar kepada skuad Harimau Malaya apabila berjaya meningkatkan kedudukan skuad kebangsaan daripada tempat ke-154 ke tangga ke-134 dunia sepanjang tempoh 2022 hingga 2024, dengan pencapaian terbaik berada di kedudukan ke-130 dunia pada November 2023.
Di bawah kendaliannya, Malaysia turut layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 1980, satu pencapaian bersejarah yang mengangkat kembali imej bola sepak negara di peringkat Asia.
Pada 2024, beliau kembali ke Korea Selatan dan menyertai Ulsan HD FC di pertengahan musim sebelum membantu kelab menjuarai Liga Korea 1 (Liga K1) buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menjadi individu pertama memenangi liga itu sebagai pemain dan ketua jurulatih bersama Ulsan HD FC. – UTUSAN










