PETALING JAYA: Cubaan dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan curi ekzos kenderaan di sekitar Ampang, dekat sini tumpas selepas mereka diberkas di Sungai Besi, semalam.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu dilakukan susulan tular satu rakaman video dalam laman sosial mengenai kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada mulanya polis menerima satu laporan polis kira-kira pukul 4 petang mengenai kejadian curi berkenaan.
Kata beliau, mangsa tampil membuat laporan polis selepas dia menerima panggilan telefon dan kiriman video daripada rakannya memaparkan perbuatan kedua-dua suspek.
“Kedua-dua lelaki berkenaan dikesan membuat sesuatu pada kenderaan miliknya iaitu jenis Toyota Innova.
“Setelah ditegur, kedua-dua suspek memberi alasan membaikinya dan bergegas beredar menaiki kereta jenis Proton Iriz warna Silver.
“Selepas itu, mangsa mendapati komponen ekzos catalytic convecter miliknya telah dipotong namun tidak dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Mohamad Farouk, susulan itu, satu tangkapan dilakukan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ampang Jaya kira-kira pukul 11 malam dan menahan kedua-dus suspek.
Jelas beliau, hasil semakan mendapati suspek pertama yang berumur 24 tahun mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah curi manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Hasil tangkapan itu juga, masing-masing dua tabung ekzos dan jack kereta berwarna hitam tdirampas.
“Turut dirampas iaitu masing-masing sebuah ratchet pipe cutter jenama Toptul, Grender, cutter marbele jenama Gxp dan pelbagai peralatan membuka Ekzos ditemukan.
“Dalam pada itu, kita juga merampas gergaji besi bermotor dan sebuah kenderaan Proton Iriz berwarna silver beserta serangkai anak kunci yang digunakan semasa kejadian,” jelasnya.
Tambah beliau, saringan ujian air kencing kedua suspek akan dibuat selepas reman diambil pagi ini di Mahkamah Ampang.
Jelas Mohamad Farouk, modus operandi suspek adalah melakukan kegiatan curi tabung ekzos bagi mendapatkan besi platinum berharga yang terdapat di dalam tabung ekzos tersebut.
“Suspek telah mendedahkan melakukan jenayah curi tabung ekzos (Catalytic Converter) beberapa kali di sekitar kawasan daerah Ampang dan Kajang.
“Siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti penglibatan suspek bagi lain-lain kes di dalam daerah Ampang dan daerah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE