KUANTAN: Seorang pelajar yang didakwa mempunyai hutang di sebuah syarikat telekomunikasi kerugian sehingga RM11,400 akibat terpedaya dengan panggilan sindiket Macau Scam, semalam.
Modus operandi sindiket tersebut menerusi penyamaran suspek yang memperdaya mangsa dengan mengaku sebagai pegawai kerajaan.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, semalam di kediamannya di Indera Mahkota, dekat sini, apabila mangsa yang berusia 21 tahun dihubungi seorang pegawai daripada Syarikat Telekom, Seremban.
“Ketika kejadian, suspek yang berada di rumahnya memberitahu mangsa mempunyai hutang ketika pemasangan talian Internet Unifi, kelmarin.
“Mangsa menafikan perkara itu namun panggilannya disambungkan kepada seorang lagi suspek yang kononnya dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban memperkenalkan diri sebagai Sarjan Zaidi.
“Suspek menyatakan akan menyambungkan mangsa kepada talian yang lain setelah mereka selesai berbincang tentang kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, penipuan tersebut masih terus berlangsung sehingga talian mangsa disambungkan kepada seorang yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Ridzuan.
“Datuk Ridzuan bertindak sebagai penyelesai masalah dengan memberi panduan tentang cara membersihkan nama mangsa dan siasatan akaunnya.
“Mangsa diberikan satu nombor iaitu 0187-4615083 untuk mengisi maklumat peribadi akaun mangsa dan kerana ketakutan serta cemas mangsa telah memberikan semua maklumat yang diminta.
“Selepas perbualan tersebut terputus kerana ditegur bapa saudara, mangsa terus membuat semakan ke atas dua akaunnya dan mendapati wangnya sebanyak RM11,400 telah berkurangan,” katanya.
Dengan itu, kata Mohd. Wazir lagi, mangsa yang tersedar dengan penipuan tersebut segera membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.
“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN









