Sindiket judi, ah long: 'Dato’ Ken', isteri didakwa esok

‘Dato’ Ken’, isteri didakwa esok

NIK EZANEE MOHD. FAISAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lelaki bergelar ‘Dato’ Ken’ dan isterinya yang terlibat dalam sindiket judi dalam talian, pinjaman tanpa lesen dan lombong bitcoin akan didakwa di Mahkamah Selayang esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pertuduhan terhadap kedua-dua individu itu dijadualkan pada pukul 9.30 pagi dan ke atas.

“Dato’ Ken akan didakwa atas tiga pertuduhan manakala isterinya hanya satu pertuduhan.

“Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Bulan lalu, pasangan suami isteri itu dicekup selepas aktiviti sindiket melibatkan judi dalam talian, pinjaman tanpa lesen dan lombong bitcoin tumpas melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM33 juta.

Tangkapan terhadap Liow Lian Keong (Dato’ Ken) dan Chen Lye Kuen  masing-masing berusia 40 dan 41 tahun pada 11 Ogos itu susulan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di empat rumah di Country Homes, Rawang pada awal Julai lepas melibatkan judi dalam talian.

Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan beberapa rampasan dan sitaan melibatkan kenderaan serta hartanah dibuat iaitu 14 kereta mewah, 14 rumah, tiga rumah kedai, wang tunai dan pembekuan 71 akaun bank.

Ketika serbuan, sembilan komputer riba dan 15 telefon bimbit dirampas selain 13 individu berusia 17 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja sindiket itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Sindiket itu menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen yang dikhaskan kepada kenalan rapat dan ahli perniagaan dengan mengenakan kadar faedah lapan hingga 10 peratus sebulan.

Bagi aktiviti melombong bitcoin, sindiket  dikesan melakukan pendawaian elektrik secara haram ke premis mereka sehingga menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencecah jutaan ringgit sebulan.

Aktiviti judi dalam talian pula, sindiket itu menggunakan rumah atau pejabat bagi menempatkan pekerja mereka menguruskan kegiatan perjudian itu secara 24 jam sehari. 

Sindiket berkenaan menggunakan platform media sosial seperti aplikasi WhatsApp, WeChat dan Facebook bagi mempromosikan kegiatan judi dalam talian, malah dipercayai turut menggunakan akaun bank ‘keldai’ bagi transaksi setiap bayaran.

Hasil siasatan polis turut menemukan 24 syarikat dipercayai digunakan sindiket  bagi mengaburi perniagaan dan keuntungan haram yang diperolehinya daripada dikesan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.