fbpx

22 Oktober 2021, 11:49 am

  TERKINI

Data klinikal vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun diterima bulan depan

Data klinikal kanak kanak bawah 12 tahun akan dianalisis olEh NPRA. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Malaysia dalam proses rundingan bagi mendapatkan data klinikal bagi tujuan vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah daripada sebuah syarikat pengeluar vaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menjangkakan data klinikal itu diperoleh mulai bulan depan sebelum dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk diluluskan.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin yang baru-baru ini mengeluarkan data ujian klinikal awal vaksinasi kepada kelompok kanak-kanak usia berkenaan.

“Saya difahamkan, syarikat itu sedang membuat persediaan untuk menghantar data kepada semua badan regulatori dunia termasuk di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Malaysia sendiri.

“Saya juga percaya ada syarikat lain akan berbuat demikian (berkongsi data klinikal vaksin kanak-kanak) memandangkan mereka sudah menjalankan kajian klinikal sama terhadap golongan itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, beliau tidak dapat mendedahkan lagi syarikat pengeluar vaksin yang sedang dirunding kerajaan itu sehinggalah majlis perjanjian ditandatangani kelak.

Khairy berkata, pemberian vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun adalah selari dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Kesihatan yang mahu memberi perlindungan kepada seluruh rakyat.

“Kita tidak mahu nanti apabila populasi dewasa dan remaja dilindungi tiba-tiba berlaku pandemik dalam kalangan kanak-kanak pula.

“Justeru, kita perlu hati-hati dalam perkara ini bagi memastikan persekitaran sekolah kelak selamat bagi kanak-kanak,” katanya.

Katanya, dalam penggulungan usul titah diraja di Dewan Rakyat semalam, beliau memaklumkan, Kementerian Kesihatan tidak lagi menggunakan terma imuniti kelompok, tetapi bergerak kepada perluasan capaian vaksinasi. 

Ini bermakna, katanya, kerajaan perlu meluaskan capaian vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk Malaysia.

“Sebagai contoh, kita memulakan vaksinasi kepada golongan remaja dan akan menilai data vaksinasi kepada kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI