DAP gesa tambah PPV bergerak di Hilir Perak - Utusan Malaysia

DAP gesa tambah PPV bergerak di Hilir Perak

WOO Kah Leong (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas Covid-19 di Teluk Intan, Perak,  baru-baru ini.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: DAP menggesa lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak diwujudkan di daerah Hilir Perak khususnya di Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Woo Kah Leong berkata, usaha itu perlu dilakukan segera berikutan berlaku pertambahan 750 kes positif Covid-19 di daerah itu dalam tempoh 10 hari dari 20 hingga 30 Ogos lalu.

Pada masa sama, katanya, terdapat enam kluster aktif di daerah tersebut melibatkan kawasan kampung di Langkap, perkampungan nelayan di Bagan Datuk serta di bandar Teluk Intan, manakala di  Jalan Pasar di bandar itu mempunyai dua kluster aktif yang membimbangkan penduduk dan peniaga di Teluk Intan.

“Pasukan DAP Teluk Intan bersedia membantu Pejabat Kesihatan Daerah memasuki pelbagai kawasan pedalaman di Parlimen Teluk Intan bagi memastikan setiap penduduk menerima vaksin dengan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, maklumat yang diperolehi dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menjelaskan terdapat 166,500 penduduk di daerah Hilir Perak dengan 37,787 orang daripadanya masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin.

Disebabkan kebanyakan pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5 adalah daripada golongan yang belum menerima apa-apa vaksin, Kah Leong menyeru kerajaan untuk menitik beratkan golongan yang masih belum mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin untuk mencapai imuniti kelompok. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN