Bung Moktar nafi kelirukan Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Bung Moktar nafi kelirukan Dewan Rakyat

BUNG MOKHTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat berkaitan isu penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu mempunyai asas kerana tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menamatkan perjanjian PDP itu menimbulkan masalah yang lebih besar hingga membawa kepada kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau berkata, PH-Warisan bertindak menamatkan PDP tanpa berfikir panjang hingga tidak melihat keperluan untuk menerbitkan sukuk atau bon terlebih dahulu.

“Jika dilihat di Sarawak, mereka juga menamatkan PDP bagi projek lebuh raya itu tetapi penamatan itu selepas mereka menerbitkan sukuk.

“Itu antara sebab pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak antara Sabah FC dan Ketua Jurulatih Bola Sepak Sabah yang baharu Datuk Ong Kim Swee, di sini semalam.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah ini berkata,  demikian bagi mengulas kenyataan beberapa anggota Parlimen PH yang mendakwa beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu tersebut.

Jelas beliau, penamatan PDP itu mengakibatkan Sabah kini hanya bergantung kepada peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setiap tahun bagi melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Menurut beliau, pelaksanaan pakej-pakej pembinaan lebuh raya itu bernilai puluhan bilion dan jika bergantung kepada peruntukan RM1 bilion setiap tahun maka, pembinaan projek itu akan mengambil masa berpuluh tahun untuk disiapkan.

Oleh itu katanya, beliau tetap berpegang kepada kenyataannya sebelum ini bahawa PH dan Warisan melakukan satu kesilapan besar apabila menamatkan PDP bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya