Bukan 100 hari, tetapi 10 hari - Idris - Utusan Malaysia

Bukan 100 hari, tetapi 10 hari – Idris

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Idris Ahmad menggunakan tema ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’ bagi pentadbiran hal ehwal Islam kini.

Beliau berkata, tema itu sebagai panduan kepada semua agensi Islam untuk melaksanakan dasar dan program yang menjurus ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Bagi memastikan tema pentadbiran yang dicadangkan itu direalisasikan, lima strategi diberi fokus di bawah Inisiatif Mantap iaitu pemantapan mental, jasmani dan rohani; pemantapan sistem pendidikan Islam; pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam; pemantapan institusi masjid dan surau dan pemantapan sosioekonomi ummah.

Di bawah inisiatif pertama, jelas beliau, pihaknya akan memastikan tiada lagi individu yang mengalami tekanan perasaan tanpa perhatian, tiada lagi kes bunuh diri akibat tiada tempat mengadu dan sebagainya.

“Di bawah inisiatif pemantapan sistem pendidikan Islam seperti Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pendidikan Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Negeri, pendidikan tahfiz dan pondok yang berada di bawah tanggungjawab agensi agama, mekanisme pengajaran dan pembelajaran  kurikulum pendidikan tersebut akan dibuat kajian, seterusnya cadangan penyesuaian semula mengikut norma baharu pendidikan masa kini.

“Pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam, keberkesanan sistem  pengurusan institusi keluarga khususnya di bawah tanggungjawab agensi  agama dan Mahkamah Syariah akan diberi perhatian yang wajar. Seramai 4,000 guru takmir berada di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dimanfaatkan untuk perkara ini,” katanya dalam ucapan sulung, hari ini.

Bagi pemantapan institusi masjid dan surau, beliau menyedari isu solat berjemaah di masjid dan surau yang terhad akibat prosedur operasi standard (SOP) ketat akan diambil perhatian.

Justeru, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan semua mufti-mufti dari setiap negeri serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk membincang syor dan cadangan munasabah bagi menangani isu ini dalam tempoh jangka masa pendek memandangkan pentadbiran masjid dan surau adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Kata Idris, pemantapan sosioekonomi ummah pula akan memastikan tiada dalam kalangan rakyat hidup dalam keadaan kelaparan dan makanan mesti sampai ke setiap rumah yang memerlukan.

Justeru katanya, program-program bantuan seperti Tabung Musaadah Covid-19 Jakim dan  Yayasan Waqaf Malaysia, Dapur It’am MAIWP dan JAWI, sumbangan bakul  makan dan lain-lain inisiatif yang telah diperkenalkan tanpa mengira kaum dan agama di bawah nama Keluarga  Malaysia akan diteruskan.

“Bagi memastikan Inisiatif Mantap ini dapat dilaksanakan dengan segera, saya telah menetapkan tempoh kurang 10 hari bagi semua agensi di bawah saya untuk merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau ringkasnya PIAGAM-C19.

“Saya telah mengarahkan Jakim sebagai lead agency untuk menyelaras semua 14 agensi Islam dan sebuah sekretariat khas akan diwujudkan Jakim bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Idris pada masa sama akan memulakan pertemuan dengan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum, serta fahaman politik bagi membincangkan solusi terbaik ke arah menjayakan inisiatif tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya