Belanjawan 2022: Melaka harap RM200 juta naik taraf LTAM

Belanjawan 2022: Melaka harap RM200 juta naik taraf LTAM

MOHD. Ali Mohd. Rustam (tengah) disambut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (kiri) dan Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (kanan) pada Perasmian Istiadat Kawalan Kehormatan bagi Persidangan Pertama, Penggal Keempat, DUN Melaka ke-14 di Dataran Seri Negeri, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempertimbangkan peruntukan RM200 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam melalui Belanjawan 2022, kata Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Mohd. Ali ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, dana berkenaan sudahpun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang telah berakhir tahun lalu.

Ujarnya, dalam usaha menggerakkan industri perkhidmatan khusus yang berkaitan dengan sub-sektor pelancongan kesihatan, kerajaan negeri perlu menggiatkan usaha untuk mendapatkan kelulusan kerajaan Pusat bagi menyegerakan penambahbaikan infrastruktur LTAM.

“Penambahbaikan ini termasuklah menambah bilangan ruangan parkir pesawat, menambah baik sistem pengurusan penumpang dan juga pemanjangan landasan bagi memberi keselesaan kepada pesawat agar boleh mendarat dengan kapasiti penuh.

“Seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak laluan domestik dan antarabangsa bagi menyokong sektor pelancongan kesihatan dan pelancongan sosial yang lain.

“Justeru, saya berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan kelulusan dalam Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 oktober 2021, khusus bagi meningkatkan lagi ekonomi negeri Melaka dalam sektor ini,” katanya.

Persidangan DUN kali ini berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis, 23 September.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut menyentuh berkenaan isu penyebaran ajaran yang menyeleweng dan salah daripada segi prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tegasnya, usaha-usaha untuk menerapkan ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu diambil serius dan difahami dengan sebenarnya oleh seluruh umat Islam di negeri ini.

“Dalam aspek memartabatkan syiar Islam, saya berharap pentadbiran kerajaan dapat memberikan perhatian serius terhadap usaha untuk membendung isu penyebaran ajaran yang menyeleweng dan salah dari segi prinsip akidah.

“Selain itu, penyebaran ajaran-ajaran salah yang telah difatwakan haram di negeri Melaka hendaklah sentiasa dipantau agar tidak terus merebak dan merosakkan pegangan akidah rakyat negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN