Seramai 6,923 remaja terima vaksin Covid di Johor

6,923 remaja terima vaksin di Johor

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 6,923 remaja di negeri ini sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini melibatkan 359,900 remaja.

Katanya, sehingga kini, seramai 304,695 remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera. 

“Pemberian vaksin akan diberi kepada semua remaja berusia 16 dan 17 tahun tanpa mengira status kesihatan di dewan sekolah atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan dimaklumkan pihak sekolah kepada ibu bapa atau penjaga.

“Remaja yang berusia 16 dan 17 tahun yang tercicir dari sekolah, mereka boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di PPV yang ditentukan daerah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun, pemberian vaksin akan diberi kepada mereka yang mempunyai komorbid iaitu akan diberi temujanji di hospital atau klinik kesihatan di tempat mereka mendapatkan rawatan.

Katanya, ibu bapa atau penjaga perlu menandatangani borang persetujuan suntikan Vaksin Covid-19 bagi semua remaja yang berusia kurang dari 18 tahun.

Jelasnya, hanya terdapat beberapa PPV awam dan integrasi di negeri ini yang dipilih bagi pelaksanaan pemberian vaksin untuk remaja.

“Ia melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), Johor Bahru; Dewan Raya Bandar Putra, Kulai; Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Dewan Serbaguna Taman Yayasan dan Dewan Serbaguna Labis di Segamat.

“Turut serta Dewan Jubli Intan Pontian, Dewan Serbaguna Benut dan Dewan Tunku Ibrahim, Pekan Nanas, Pontian, selain Dewan Jubli Intan Mersing serta Dewan Serbaguna Endau, Mersing,” katanya.

Tambahnya, bagi daerah yang tiada senarai PPV, pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 remaja akan dijalankan sepenuhnya di sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, PICK yang telah dilancarkan di negeri ini pada 1 Mac lalu kini telah sampai ke fasa akhir apabila sehingga kelmarin, 92.1 peratus tahap liputan dos pertama dan 69.5 peratus liputan lengkap dos telah diberikan. 

“Objektif utama PICK bagi menghasilkan tahap imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dewasa yang dianggarkan seramai 2.71 juta orang di negeri dengan jangkaan akan dicapai pada hujung bulan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN