Negara hadapi kesan akibat daripada konflik di Asia Barat

Negara hadapi kesan akibat daripada konflik di Asia Barat

ANWAR Ibrahim bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat barangan yang dijual selepas merasmikan Madani Mart di Indera Mahkota 8 Kuantan, Pahang semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Konflik perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah memberi masalah kepada negara terutama pada sudut ekonomi dan harga minyak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran tersebut timbul apabila negara kuasa besar bertindak menyerang Iran tanpa adab dan perikemanusiaan sekali gus mencetuskan tindak balas yang menghancurkan kestabilan rantau tersebut.

Menurutnya, tindakan zalim itu mengingatkan dunia kepada nasib rakyat Palestin di Gaza yang terus ditindas, tanah dirampas dan anak-anak kecil menjadi mangsa peperangan.

“Kita belajar bahawa manusia yang baik tidak boleh membiarkan kezaliman, penindasan dan rompakan berterusan.

“Apabila ada serangan, pasti ada serangan balas. Akibatnya ekonomi dunia merudum dan harga minyak melambung tinggi,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di pekarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini semalam.

Anwar menegaskan, terdapat pihak yang kurang cerdik dalam memahami isu global tersebut lalu menyalahkan kerajaan Malaysia sedangkan masalah tersebut berpunca daripada konflik antarabangsa yang tidak dapat dielakkan.

“Orang yang tidak membaca buku atau berita mudah me­nuding jari kepada kita. Ini bukan masalah Malaysia semata-mata, tetapi masalah dunia yang semakin dipolitikkan,” ujarnya.

Beliau menambah, Malaysia memasuki tahun 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh sebagai mana ditegaskan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour yang menyatakan negara berada pada kedudukan baik untuk mendepani cabaran global.

Namun katanya, peperangan tetap memberi kesan langsung kepada harga minyak.

“Bagaimanapun, RON95 di Malaysia masih antara paling rendah di dunia iaitu RM1.99 seliter. Ada negara jiran mence­cah RM10 seliter. Kalau tanya saya, saya kata Alhamdulillah.

“Kita tidak menafikan wujud masalah (kesan perang) tetapi tetap berusaha membantu rakyat. Ada negara jiran sampai catuan minyak malah lebih 400 stesen minyak ditutup. Di Malaysia, kita masih mampu bertahan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa masalah kesan krisis tersebut perlu ditangani dengan mencari jalan penyelesaian bersama bukan dengan menyalahkan pihak tertentu.

“Jangan boros, belanja lain boleh dibatalkan tetapi makan minum rakyat mesti dijaga. Nasib orang miskin mesti dibela,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat tidak terbeban walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Kita akan terus melaksanakan dasar yang menjaga kepen­tingan rakyat, terutama golo­ngan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau turut menyeru ma­syarakat agar lebih memahami isu antarabangsa dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik sempit yang hanya me­nimbulkan salah faham.

Terdahulu Anwar merasmikan Madani Mart cawangan Indera Mahkota 8, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN