PUTRAJAYA : Polis memburu dan membuat tangkapan serta-merta di rumah mahupun di mana-mana lokasi jika terdapat individu yang didapati melanggar perintah kuarantin di rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 (JKPS) memandang serius laporan analisis mobiliti aplikasi MySejahtera yang mendedahkan bahawa sebanyak 523 daftar masuk (check-in) dikenal pasti dalam kalangan kes pesakit positif Covid-19 yang diberikan perintah kuarantin di rumah (HSO).
Katanya, berdasarkan data yang diperoleh, sebanyak 18 peratus kes tersebut dikesan berlaku di pasar raya.
“Bagi membolehkan tindakan tegas diambil pihak berkuasa dengan pantas dan tegas, JKPS meminta Kementerian Kesihatan menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta-merta (real-time) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan.
“Melalui maklumat tersebut, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19 di kementeriannya, hari ini.
Tambahnya lagi, premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Hamzah berkata, sejak dilancarkan pada 25 Jun sehingga 23 September lalu, Op Patuh menjalankan sebanyak 1,843,856 pemeriksaan di seluruh negara ke atas 178,266 buah kilang, 79,974 tapak pembinaan, 1,565,649 premis perniagaan dan 24,967 asrama penginapan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,410 kompaun dikeluarkan dan 4,440 premis diarah tutup.
“Mesyuarat JKPS juga memutuskan untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP secara bersepadu melalui Op Patuh bagi memastikan tiada pihak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP PKP ketika negara beralih ke fasa endemik,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE










