40 remaja terima dos pertama sempena ulang tahun kelahiran - Utusan Malaysia

40 remaja terima dos pertama sempena ulang tahun kelahiran

PASANGAN kembar OKU, Nur Nabihah dan Nur Nabila Mohamed Salleh menerima suntikan vaksin pertama mereka melalui PICK Remaja di PPV Hospital Pakar KPJ Johor di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 40 remaja menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KPJ Johor sebagai ‘hadiah’ hari lahir mereka ke-18 yang jatuh pada hari ini.

Antara yang hadir menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan ialah pasangan kembar orang kurang upaya (OKU), Nur Nabihah Mohamed Salleh dan Nur Nabila, 18, yang hadir bersama abang mereka, Muhd. Syukur, 33.

Menurut Muhd. Syukur, dia meminta adik kembarnya itu membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera apabila kerajaan mengumumkan golongan remaja boleh daftar untuk proses vaksinasi.

Katanya, pasangan kembar yang mempunyai masalah dyslexia itu berharap untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran seperti biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah selepas lengkap menerima suntikan vaksin.

“Mereka sangat teruja dapat suntikan vaksin pada hari ulang tahun kelahiran. Sepanjang perjalanan ke sini mereka asyik bertanyakan mengenai vaksin Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan Lima, Tan Min Kang, 17, berkata, dia berasa sangat teruja menerima suntikan vaksin pertama pada hari ulang tahun kelahirannya.

“Pada awalnya rasa macam tak percaya apabila dapat temu janji vaksin. Ini mungkin hadiah hari jadi daripada pihak kerajaan iaitu memberikan vaksin kepada saya selepas lama menunggu,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, kesemua remaja yang meraikan hari ulang tahun kelahiran pada hari ini adalah sebahagian daripada peserta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. 

Beliau berkata, sempena menyambut hari istimewa buat 40 remaja berkenaan, pihak pengurusan turut memberikan cenderahati KPJ Johor kepada penerima vaksin terbabit.

“Pihak KPJ Johor amat bangga dan berbesar hati apabila PPV kami terpilih untuk menerima penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan remaja. Ia adalah sebahagian daripada sumbangan kami kepada negara dalam mencapai sasaran memastikan Malaysia selamat daripada wabak Covid-19,” katanya

Jelas Mohd. Azhar, setakat ini, kesemua penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan remaja berkenaan menerima janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan pihaknya masih belum memberikan suntikan vaksin secara datang terus (walk-in) kepada golongan remaja di negeri ini. 

“Prosedur dan proses mendapatkan vaksin di PPV KPJ tetap sama seperti iaitu pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bagi individu yang layak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya