PUTRAJAYA: Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Saidina Uthman Bin Affan diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Patriotik bagi program Kemerdekaan Peringkat Institusi Pendidikan Islam (IPI) dan Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) 2021.
Jawi dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga lagi sekolah yang turut memenangi kategori sama ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Darul Huda Wangsa Maju, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Taman Permata Fadason dan Tadika Cahaya Ummi Taman Batu Permai bagi kategori swasta.
Menurutnya, majlis perasmian penutupan program itu dilaksanakan secara dalam talian hari ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar yangturut dihadiri , Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Mohd. Fadzil Abu Kasim.
“Sepanjang Bulan Kemerdekaan yang lalu, pelbagai program dilaksanakan di semua sekolah SIRAJ, SRA, KAFA dan IPIS Wilayah Persekutuan seperti kempen kibar Jalur Gemilang, deklamasi sajak, melukis dan mewarna, pakaian patriotisme dan kebudayaan Malaysia, pantun seloka, bercerita, kuiz kemerdekaan, dan scrapbook.
“Program berkenaan dianjurkan bertujuan menyuntik semangat cinta dan sayangkan negara dalam kalangan murid-murid generasi pewaris serta warga sekolah keseluruhannya di samping menghayati pengorbanan para pejuang terdahulu serta petugas barisan hadapan yang membantu negara menentang wabak Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Jawi berkata, MAIWP memperuntukkan bantuan berjumlah RM 25 juta bagi program pendidikan Islam di bawah Jawi serta bantuan one off kepada warga guru yang terkesan dalam tempoh pandemik berjumlah RM 787,500 sepanjang tahun ini. – UTUSAN ONLINE