IPOH: Seramai 33 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menjalani kuarantin selepas lapan daripada mereka positif dijangkiti Covid-19.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, daripada lapan orang yang positif itu, empat orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, dua orang dari BBP Tapah manakala seorang masing-masing di BBP Kamunting dan BBP Ipoh.
Katanya, kesemua mereka adalah pesakit kategori dua dan kini dikuarantin di rumah masing-masing.
“Seramai 25 warga JBPM Perak turut dikuarantin kerana berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS).
“Daripada jumlah itu, BBP Kuala Kangsar merekodkan jumlah tertinggi seramai 12 orang diikuti BBP Gopeng (1), BBP Parit Buntar (1), BBP Lenggong (2), BBP Taiping (1), BBP Ipoh (2), BBP Kamunting (2), Ibu Pejabat JBPM Perak (2), BBP Meru Raya (1) dan BBP Batu Gajah (1),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.
Menurut Azmi, jumlah mereka yang dikuarantin itu bagaimanapun tidak menjejaskan pengoperasian balai-balai yang terlibat.
Sementara itu beliau berkata, tindakan tegas termasuk tunjuk sebab akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang didapati tidak patuh kepada SOP Covid-19.
Sehubungan itu, katanya, satu pasukan tindakan ditubuhkan bagi memastikan semua warga bomba Perak sentiasa patuh kepada SOP yang ditetapkan.
“Dalam menghadapi sebarang bencana atau kejadian, kita mahu anggota sentiasa sihat dan mempunyai fizikal mantap dalam melaksanakan tugas berkaitan keselamatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE