JOHOR BAHRU: Inisiatif vaksinasi secara walk-in diperluas di beberapa daerah di negeri ini sebagai salah satu langkah alternatif bagi mempercepat usaha masyarakat mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, sebanyak 21 buah pusat pemberian vaksin (PPV) disenaraikan menawarkan perkhidmatan tersebut sejak Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Antara lokasi tersebut adalah PPV Dewan Raya Bandar Putra dan PPV Mobile Kampung Melayu (Kulai); PPV Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Taman Yayasan dan Labis (Segamat); Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (Tangkak) dan Dewan Jubli Intan (Muar).
“Di Batu Pahat, terdapat lima PPV menawarkan perkhidmatan itu iaitu PPV Dewan Jubli Intan, Dewan Terbuka Taman Hajjat, Dewan Makmur Rengit, Dewan Serbaguna Sri Sulong dan Dewan Orang Ramai Parit Raja.
“Manakala lima PPV di Pontian juga disenaraikan iaitu Dewan Jubli Intan, Dewan Serbaguna Benut, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Dewan Perpat Timbul, dan Klinik Kesihatan Kayu Ara Pasong,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, orang ramai di Mersing dan Kluang juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu di PPV Dewan Jubli Intan Mersing dan Politeknik Mersing selain Dewan Muafakat Simpang Renggam.
Bagaimanapun, Vidyananthan mengingatkan inisiatif itu adalah untuk melengkapkan vaksinasi warga tempatan yang berumur 18 tahun dan ke atas di lokasi penempatan masing-masing dan tidak digalakkan merentas daerah untuk berusaha mendapat vaksinasi di lokasi-lokasi tersebut.
“Orang ramai masih berpeluang mendapat vaksinasi dalam masa terdekat dengan hanya mendaftarkan diri melalui MySejahtera. Kesemua PPV sedia ada di lokasi lain masih melaksanakan program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara aktif.
“Warga asing juga tidak digalakkan menghadirkan diri ke lokasi walk-in ini. Peluang mendapat vaksinasi masih tinggi sekiranya mereka berdaftar di MySejahtera, Masyarakat tempatan pula tidak perlu bimbang sekiranya vaksin telah habis di akhir hari kerana janji temu baharu akan diberikan dan mereka akan diutamakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dianggarkan lebih 1.39 juta penduduk di negeri ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, manakala lebih 2.2 juta sudah menerima dos pertama iaitu pada kadar 82.0 peratus. – UTUSAN ONLINE