14 Geng Nicky lepas tanpa bebas - Utusan Malaysia

14 Geng Nicky lepas tanpa bebas

SERAMAI 14 individu Geng Nicky dilepaskan tanpa dibebaskan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini daripada pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky ialah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Eee Eng Chee, Dr. Jovian Joris Tan Chern Chian, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Datuk Loo Siew Chin, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming dan Lim Kang Li.

Empat tertuduh yang merupakan warga China ialah Huang Lei, Gu Xing Qiong, Yujun Wang dan Jiang Xue. Kesemua tertuduh berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman dalam keputusannya berkata, mahkamah menggunakan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik semula pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwa raya.

“Pihak pendakwaan berjaya meyakinkan mahkamah apabila pendakwa raya mencadangkan untuk menjalankan pertuduhan apabila siasatan sudah lengkap.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan kesemua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pihaknya berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai peguam bela, Datuk Rajpal Singh memohon agar kesemua anak guam mereka dilepas dan dibebaskan memandangkan mereka telah ditangkap antara 18 hingga 21 Mac lalu.

Katanya, kesemua tertuduh juga ditahan selama 21 hari mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Siasatan awal yang dijalankan pihak pendakwa raya tidak lengkap dan pihak peguam bela telah menghantar representasi kepada pejabat peguam negara.

“Peguam negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita hari ini.

Petugas media tidak dibenarkan berada dalam galeri awam sepanjang prosiding kes berlangsung selama sejam 30 minit bermula pukul 9.45 pagi.

Anggota keluarga dan sahabat tertuduh dilihat memenuhi ruang legar mahkamah yang terletak di aras tujuh bangunan mahkamah tersebut.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya