KUALA SELANGOR: Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 101 mangsa setakat ini.
PPS baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing dan SK Sultan Abdul Aziz, Bestari Jaya itu masing-masing dibuka pada malam dan tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, kesemua mangsa banjir daripada 34 keluarga itu masih ditempatkan di empat PPS yang disediakan.
“Dua PPS iaitu SK Parit Mahang dan SK Pasangan yang sudah dibuka sebelum ini menempatkan seramai 56 mangsa. Manakala, seramai 45 mangsa terbaharu ditempatkan di dua lagi PPS baharu iaitu SK Sultan Abdul Aziz dan SK Bukit Belimbing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor, PPS di SK Rantau Panjang yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi sebelum ini bagaimanapun sudah ditutup.
“Kesemua 90 mangsa daripada 27 keluarga itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas paras air surut sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah Mohd. Faizal, lokasi banjir itu melibatkan Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuantan, Kampung Rangkaian Lubuk Jaya dan Kampung Parit Mahang.
“Hasil pemantauan setakat ini mendapati hanya paras air di Kampung Rantau Panjang pulih manakala kawasan lain masih belum surut. Pemantauan banjir itu akan dilakukan secara berterusan dan menyeluruh oleh agensi berkaitan,” katanya.
Ahad lalu, hujan lebat berterusan mengakibatkan seramai 48 penduduk Kampung Rantau Panjang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Pemindahan itu dilakukan selepas rumah penduduk dinaiki air setinggi satu meter atau paras pinggang akibat hujan sejak malam Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE