Sinar baharu penghuni Pondok Remaja Inabah 2

Sinar baharu penghuni Pondok Remaja Inabah 2

AMIR (bukan nama sebenar) berkongsi mengenai kisah hidupnya sewaktu ditemui di Pondok Remaja Inabah 2, Sungai Ikan, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seawal pukul 3.30 pagi ketika kebanyakan orang masih lena, Amir, 38, (bukan nama sebenar) sudah bangun memulakan harinya. Dalam suasana sunyi dan dingin, dia melangkah ke bilik air untuk mandi taubat sebelum menunaikan solat sunat taubat dan tahajud.

Bagi lelaki itu, rutin harian di Pondok Remaja Inabah 2, Sungai Ikan di sini bukan sekadar amalan biasa, sebaliknya menjadi jalan untuk menebus kesilapan lalu selepas lebih sedekad bergelumang dengan najis dadah.

Amir mengakui kehidupannya pernah berada di titik paling gelap apabila mula terjebak dengan dadah pada usia 27 tahun.

Menurutnya, tekanan hidup selepas kehilangan bapanya menyebabkan dia berasa kosong dan hilang arah.

“Saya sangat rapat dengan ayah. Apabila ayah meninggal dunia, saya rasa kehilangan yang sangat besar. Masa itu fikiran serabut dan emosi tidak stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika bekerja mengambil upah mengecat rumah, dia diajak seorang rakan untuk mencuba dadah kononnya bagi meredakan tekanan.

“Pada mulanya dia beri secara percuma sebagai percubaan. Dia kata dadah boleh tenangkan fikiran dan hilangkan masalah. Tetapi lama-kelamaan saya sendiri mula mencarinya,” katanya.

Ketagihan itu akhirnya mengubah seluruh kehidupannya apabila dia sering meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah. Keadaan itu berlarutan sehingga dia dipenjarakan selama dua tahun pada 2022 akibat kesalahan berkaitan dadah.

MAHU TEBUS KESILAPAN LALU

Selepas dibebaskan, Amir yang berbakat dalam seni lukis cuba memulakan hidup baharu namun mengakui sukar mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat sekeliling.

“Saya menyesal dengan apa yang berlaku. Kadangkala apabila lihat kawan-kawan sudah ada keluarga sendiri, saya rasa sedih. Saya cuma mahu hidup seperti orang lain dan dapatkan semula kepercayaan keluarga,” katanya.

Kini, selepas tiga tahun berada di pusat pemulihan tersebut, Amir mengakui kehidupannya semakin berubah dengan mendalami ilmu agama dan mendisiplinkan diri.

“Kalau boleh saya mahu keluar dan bina hidup baharu. Biarlah saya tidak balik ke rumah keluarga, saya mahu berdikari dan cari kerja seperti orang lain,” katanya.

KITARAN HIDUP TIDAK PERNAH STABIL

Seorang lagi penghuni, Eddy, 45, dari Kuantan, Pahang, pula mula mengenali dadah seawal usia 15 tahun selepas terpengaruh dengan rakan-rakannya.

“Pada mulanya saya cuba ganja. Lepas itu saya mula cuba pelbagai jenis dadah termasuk heroin, methamphetamine dan pil kuda,” katanya.

Apabila mula bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, ketagihannya semakin serius sehingga dia pernah menjadi pengedar kecil.

Pada usia 21 tahun, Eddy dipenjarakan selama setahun dan sejak itu kehidupannya tidak pernah stabil.

“Saya sudah 11 kali masuk penjara. Dalam setahun mesti ada kes sampai saya ditahan.
“Kadangkala saya sendiri penat dengan kehidupan begitu,” katanya.

Pada 2023, atas desakan bapanya, Eddy mengambil keputusan memasuki pusat pemulihan tersebut.

“Keluarga datang melawat saya sebulan sekali. Saya tahu mereka masih berharap saya boleh berubah,” katanya.

TERPENGARUH KELUARGA SENDIRI

Sementara itu, Aslam, 25, dari Kuala Nerus terjebak dengan najis dadah pada usia 18 tahun ketika bekerja di sebuah kedai makan.

Dengan gaji RM1,500 sebulan, sebahagian besar pendapatannya dihabiskan untuk membeli dadah.

“Hampir RM1,000 daripada gaji saya habis untuk beli dadah. Saya juga terpengaruh dengan abang sendiri yang mengambil dadah,” katanya.

Ketagihan itu berlarutan hampir tiga tahun sehingga dia semakin tertekan dengan kehidupannya sendiri. Kini selepas empat bulan berada di pusat tersebut, Aslam mengakui kehidupannya lebih tenang dan teratur.

PENDEKATAN KEROHANIAN DAN DISIPLIN

Timbalan Pengetua Pusat Remaja Inabah 2 Sungai Ikan, Mansor Ibrahim berkata, pusat berkenaan kini menempatkan 56 penghuni berusia antara 25 tahun hingga 60 tahun.

Menurutnya, pusat itu menggunakan pendekatan rawatan kerohanian Islam melalui amalan Tarekat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah (TQN) bagi membantu penghuni membersihkan jiwa.

“Antara kaedah utama adalah mandi taubat sebelum subuh secara berterusan selama 40 hari serta mengikuti jadual harian yang bermula seawal pukul 3.30 pagi.

“Pendekatan ini memberi penekanan kepada penyucian jiwa melalui amalan agama dan disiplin kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berhemah turut diambil dalam menangani setiap penghuni.

Katanya, ada penghuni berasakan mereka sudah pulih dan mahu pulang namun keluarga masih trauma menyebabkan mereka terus berada di situ.

MANSOR Ibrahim, ditemu bual Utusan Malaysia baru-baru ini di Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

KEMUDAHAN DAN PEMANTAUAN BERKALA

Pusat yang beroperasi sejak 1988 itu menetapkan tempoh minimum penghuni tinggal selama lapan bulan dengan bayaran sekitar RM800 sebulan.

Namun, ada juga penghuni yang memilih tinggal lebih lama bagi memastikan mereka benar-benar pulih.

Ketua Operasi, Farihan Mamat berkata, kemudahan disediakan termasuk dua asrama besar, masjid, dewan makan, dapur, dewan terbuka serta kemudahan sukan.

Seramai 12 kakitangan bertugas dan penghuni dipanggil sebagai “anak bina”.

“Kami juga mewajibkan mereka bersukan selain mengikuti program kerohanian bagi memastikan kehidupan lebih seimbang,” katanya.

HARAPAN UNTUK PELUANG KEDUA

Bagi penghuni di pusat itu, masa lalu yang penuh kesilapan mungkin tidak mampu dipadamkan, namun mereka percaya kehidupan masih boleh diperbaiki.

Apa yang mereka harapkan kini bukan simpati, sebaliknya peluang kedua daripada masyarakat untuk membuktikan bahawa perubahan itu benar-benar wujud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN