NARATHIWAT (THAILAND): Pikap milik agensi keselamatan Thailand dipercayai digunakan dalam cubaan membunuh Ahli Parlimen Narathiwat, Kamonsak Leewamoh, lantas membuka dimensi baharu siasatan kes berprofil tinggi di Selatan Thailand itu.
Kamonsak atau Wan Johan mendakwa, ia adalah hasil maklumat siasatan oleh Bahagian Jenayah Polis Wilayah 9 yang mendedahkan, kenderaan digunakan penyerang milik Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4).
Katanya, pikap berwarna putih itu ditemukan dalam operasi khas polis di Tak Bai pada Rabu lalu dengan beberapa bahagian dilerai dan dibuang ke dalam Sungai Bang Nara.
“Siasatan forensik mendedahkan daripada nombor casis pikap berkenaan, kenderaan itu adalah milik kerajaan yang digunakan ISOC 4 Wilayah Narathiwat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, pihak berkuasa Thailand merampas dua laras senjata M16 yang dipercayai digunakan dalam cubaan membunuh Kamonsak pada 20 Mac lalu.
Rampasan dilakukan dalam serbuan berasingan di sebuah bengkel dan Sungai Bang Nara, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.
Sementara itu, Timbalan Jurucakap ISOC 4, Kolonel Ekwarith Chobchuporn berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana anggotanya yang terlibat dalam cubaan membunuh.
Katanya, ISOC 4 memberi kerjasama kepada polis demi siasatan telus tanpa diskriminasi.
“Kes masih dalam siasatan. Kami tidak dapat mendedahkan semua maklumat pada masa ini. Pihak polis akan memberikan butiran lanjut mengikut undang-undang,” katanya. – UTUSAN










