Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu jelaskan surat tular sahih atau tidak

Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu jelaskan surat tular sahih atau tidak

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertanggungjawab menjelaskan kedudukan surat yang telah tersebar luas memaklumkan jumlah sokongan ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri telah berbaki hanya 100 orang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika benar surat berkenaan maka telah diabsahkan bahawa Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan dan perlu segera meletak jawatan.

Sebaliknya menurut beliau, jika surat terbabit tidak sahih, maka beliau harus segera menafikannya.

“Telah berlegar surat jawapan balas Speaker Dewan Rakyat bertarikh 9 Ogos 2021 yang memaklumkan bahawa bilangan mutakhir jumlah sokongan ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri telah berbaki hanya 100 orang.

“Dalam keadaan seperti ini, Perdana Menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat. Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, tular surat jawapan balas Azhar Azizan kepada Istana Negara yang meminta dimaklumkan bilangan terkini sokongan Ahli Dewan Rakyat ke atas Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri perlu mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bekas Menteri Besar itu turut meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab beliau dengan adil dan tidak berpihak kepada mana-mana.

“Jika tidak beliau telah gagal menjalankan tugas dengan adil dan neutral serta sengaja bersekongkol dengan Perdana Menteri bagi mempertahankan keabsahannya yang telah hilang.

“Saya juga merayu agar Yang di-Pertuan Agong, selaku benteng kepercayaan dan keyakinan rakyat mempertahan amalan demokrasi negara dan terus bertindak tegas dengan melaksanakan Perkara 43(4) jika benar Speaker Dewan Rakyat telah memberikan pengesahan bahawa Perdana Menteri telah hilang kelayakan untuk mengetuai kerajaan.

“Semoga Yang di-Pertuan Agong terus teguh mempertahan kedaulatan Perlembagaan dan melaksanakan segala peruntukannya dengan bijaksana dan berhikmah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN