KOTA TINGGI: Seorang warga emas direman selama seminggu bermula hari ini selepas dipercayai menembak mati tiga individu di sebuah kedai makan dekat Taman Kota Jaya, di sini semalam.
Perintah reman terhadap pekebun berusia 71 tahun tersebut dikeluarkan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiga mangsa yang maut ditembak dengan senapang patah dalam kejadian tersebut adalah dua lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Vietnam antara 37 hingga 63 tahun.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan di kawasan sekitar 200 meter dari lokasi kejadian pada pukul 2 petang.
“Turut dirampas senjata api jenis senapang patah yang digunakan suspek. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah,” katanya. – UTUSAN










