Pendekatan komprehensif pastikan pelaburan asing kekal di Perak - Utusan Malaysia

Pendekatan komprehensif pastikan pelaburan asing kekal di Perak

LOH SZE YEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan yang komprehensif dan berfokus bagi memastikan pelaburan asing sedia ada terus kekal serta berkembang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pendekatan tersebut menekankan aspek pengekalan pelabur, pengembangan pelaburan serta penarikan pelaburan berkualiti tinggi yang berimpak kepada ekonomi negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui agensi seperti InvestPerak, MIDA dan MITI terus memainkan peranan sebagai pemudah cara  dengan memastikan segala keperluan pelabur dipenuhi secara efisien.

Katanya, ini termasuk penyelarasan kelulusan, penyediaan infrastruktur serta penyelesaian isu secara pantas melalui pendekatan ‘whole-of-government’.

“Kerajaan negeri melalui InvestPerak turut membantu pelabur yang berminat untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan kerja-kerja awal di tapak selepas Kebenaran Merancang (KM) dikemukakan, di samping mempercepatkan proses kelulusan KM dalam tempoh 21 hari.

“InvestPerak juga mengambil peranan sebagai ‘konsultan percuma’ yang dibekalkan kepada pelabur.

“Kerajaan negeri bukan sahaja menyelaras dalam agensi kerajaan tetapi juga mengambil tanggungjawab menyelaras dengan pelbagai pihak swasta seperti pembekal utiliti dan infrastruktur seperti TNB, LAP atau Gas Malaysia dalam memastikan projek dapat berjalan dengan lancar dan menepati jangkamasa,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP- Kepayang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut adalah tertakluk kepada syarat semua dokumen adalah lengkap serta projek terletak dalam zon perindustrian yang telah diluluskan.

Beliau berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan pelabur sedia ada dapat terus beroperasi dengan lancar, di samping meningkatkan keyakinan untuk mengembangkan operasi di negeri ini.

“Sebagai contoh kecekapan proses kelulusan bagi Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) bukan sahaja dipercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek, malah turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri turut memuji kecekapan tadbir urus kerajaan negeri Perak yang disifatkan sebagai satu contoh kecekapan pentadbiran yang membanggakan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif ini terhadap pelaburan BYD di Tanjung Malim.

“Dalam menjayakan pelaburan berimpak tinggi ini, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta yang terlibat bagi mempercepatkan setiap proses kelulusan dan pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN