Warga emas mangsa kepala air terlepas bantuan - Utusan Malaysia

Warga emas mangsa kepala air terlepas bantuan

LIN Bakar termenung di tangga rumahnya sambil menanti bantuan di Kampung Permatang Chengai, Jalan Ruat, Yan. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang warga emas yang terkesan selepas rumahnya terlibat dengan banjir lumpur mendakwa terpinggir daripada bantuan selepas tragedi kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Warga emas itu, Lin Bakar, 78, yang menetap seorang diri di Kampung Permatang Chengai, Jalan Ruat di sini terkilan apabila tercicir daripada senarai bantuan bencana tersebut.

Dia juga mengalami kerugian besar selepas hampir semua barangan dalam rumahnya rosak.

“Barangan seperti almari pa­kaian, tilam, bantal, tikar getah dan pakaian mengalami rosak selepas terendam air dan lumpur.

“Selepas empat hari kejadian, ada seorang ustaz datang membersihkan rumah bersama pelajarnya selain memberi tikar getah, tilam bujang dan almari plastik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Lin, dia juga me­nerima sumbangan dapur dan tong gas serta bantuan bekalan makanan daripada penduduk tempatan.

Lin yang kematian suami lebih 20 tahun lalu berkata, dia mempunyai empat anak tetapi semuanya telah berkeluarga dan menetap di luar daerah ini.

“Saya hanya bergantung hidup kepada bantuan bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata.

“Saya tidak mampu membeli semua pekakas dan peralatan yang rosak kerana duit bantuan JKM itu hanya cukup digunakan untuk belanja harian sahaja,” jelasnya.

Menurut Lin, sejak kejadian kepala air, dia melihat pelbagai bantuan dibawa masuk ke kawasan kejadian oleh pelbagai pihak namun dia tidak menerima bantuan tersebut.

“Rumah saya tepi jalan sahaja dan saya nampak kende­raan yang bersusun-susun masuk membawa pelbagai bantuan, namun mereka tidak singgah di rumah saya.

“Walaupun kerosakan dialami tidak seteruk mangsa lain, namun saya berharap akan mendapat perhatian selepas ini dan tidak lagi dipinggirkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya