IPOH: Polis mengesahkan video tular yang memaparkan seorang pengawal keselamatan diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini, merupakan video lama.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan mendapati, kejadian itu sebenarnya berlaku pada 29 Disember lalu dan pihak polis telah menahan suspek yang terlibat untuk siasatan.
Katanya, hasil siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.
“Kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya di mana suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan pada 6 Januari lalu.
“Kes tersebut juga dijadualkan disebut semula pada 9 September ini bagi tujuan sabitan hukuman,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, video lama itu ditularkan kembali oleh ahli keluarga mangsa selepas kematian lelaki itu semalam.
Katanya, lelaki itu meninggal dunia di rumahnya dan laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Bagaimanapun, kejadian ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian adalah disebabkan dipukul dan menularkan rakaman serta gambar ketika kejadian itu tahun lalu.
“Berdasarkan keterangan baharu ini, pihak polis akan merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
“Pihak polis memandang serius ke atas aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan orang ramai,” katanya.