PETALING JAYA: Semua pihak diminta bertenang dan menangani perkembangan politik di Perlis dengan kematangan demi memastikan kestabilan negeri itu terus terpelihara.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang keputusan dan pendirian politik harus berpaksikan kepentingan rakyat dan negeri, selain mengambil kira keperluan kestabilan jangka panjang.
Katanya, rakyat menaruh keyakinan penuh bahawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan menggunakan kebijaksanaan serta kuasa prerogatif baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri bagi menentukan pelantikan Menteri Besar yang baharu.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kebajikan serta keperluan rakyat.
“Ini selaras dengan mandat dan harapan yang telah diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan dua nama calon Menteri Besar kepada Tuanku Syed Sirajuddin susulan peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli.
Abdul Hadi berkata, pencalonan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan parti berkenaan yang masih memiliki majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding rakan komponennya dalam PN.
Menurut Abdul Hadi, dua nama berkenaan dikemukakan bagi pertimbangan Raja Perlis sebagai calon paling sesuai untuk menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu. – UTUSAN










