PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun masing-masing untuk empat pertuduhan salah guna kedudukan dan denda RM11,387,888,067.05 bagi kesemua pertuduhan.
Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah 10 tahun lagi bagi setiap pertuduhan itu.
Untuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Hakim Sequerah juga memerintahkan Najib untuk memulangkan semua (sum recoverable) RM2,081,476,926 sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 55 (2) Akta Pencegahan. Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Kegagalan memulangkan jumlah tersebut, hukuman Najib boleh ditambah lagi 22 tahun lima bulan.
Hukuman penjara bagi kesemua 25 pertuduhan diarahkan berjalan secara serentak tetapi berasingan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani Najib sekarang atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Ini bermakna, sebaik sahaja Najib selesai menjalani hukuman penjaranya yang dijangka akan selesai pada Ogos 2028 (sekiranya Najib membayar denda RM50 juta), hukuman bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB akan bermula. – UTUSAN










