KUALA TERENGGANU: Baru lima hari pulih daripada banjir, Terengganu sekali lagi dilanda bencana itu hari ini melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, setakat pukul 10 malam ini, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di ketiga-tiga daerah tersebut melibatkan 358 mangsa daripada 112 keluarga.
Empat PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di Kuala Terengganu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot dan SK Tok Jembal di Kuala Nerus serta Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan di Dungun.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun berlaku antara semalam hingga 29 Disember ini sekali gus berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, analisis model cuaca terkini turut menunjukkan angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan sepanjang tempoh berkenaan.
“Keadaan cuaca signifikan itu berisiko menjejaskan aktiviti harian orang awam, khususnya di kawasan terdedah kepada hujan lebat berpanjangan dan perairan yang bergelora,” katanya. – UTUSAN










